Tuesday, February 23, 2010

Perkataan mempunyai tenaga...


Perkataan sering digunakan didalam berkomunikasi, amat sukar untuk tidak berkata-kata sepanjang hari dan ianya menjadi mustahil atau suatu yang pelik jika kita berazam untuk tidak berkata-kata pada satu-satu hari.  Apa sahaja yang mahu dimaklumkan atau diberitahukan kepada orang lain amat mudah dengan mengunakan perkataan, namun apakah perkataan yang digunakan akan memberikan kesan yang mendalam kepada seseorang yang mendengarnya atau tidak.  Samada kita sedar atau tidak perkataan mempunyai kuasa yang tidak dapat kita bayangkan.  Dengan mengunakan perkataan yang betul akan memberikan kesan atau natijah yang berbeza terhadap komunikasi dan tindakan yang lahir akibat dari perkataan yang digunakan.

Sebagai contohnya jika kita mengunakan perkataan yang bermotivasi didalam komunikasi harian kita, orang yang mendengar akan merasakan tenaga yang kita salurkan kepada mereka, kita mungkin akan menceriakan kehidupan mereka, kita mungkin akan mengubah sedikit sikap mereka untuk lebih positif.  Sebaliknya jika kita mengunakan perkataan yang negetif, mereka menjadi begitu malas untuk berkomunikasi dengan diri kita, merasakan meluat dan apa sahaja yang ingin kita katakana akan ditolak oleh mereka sebelum kita habis berkata-kata.  Bukankah suatu kerugian kepada diri kita kerana kita mahu berkomunikasi tetapi komunikasi kita sentiasa terhalang kerana kita tidak pandai memilih bahasa atau perkataan yang bersesuaian didalam berbicara.

Jika kita selalu memperkatakan yang baik-baik kepada anak-anak kita seperti “Ayah percaya Ali boleh melakukan lebih baik lagi”, “Cuba lagi kegagalan ini adalah dugaan untuk menjadikan Ali lebih matang dalam kehidupan”, “Belum tiba masanya, kejayaan akan pasti datang apabila Ali berusaha”, “Bukan senang nak senang, kalau takut susah, susah nak senang, Ayah yakin Ali mampu melakukannya”, Jika perkataan seperti itu diberikan kepada anak-anak kita tentu sekali mereka lebih menghormati kedua ibubapanya dan akan berusaha untuk mengubah keadaan diri mereka kepada lebih positif.

Sebaliknya jika kita mengunakan pendekatan negetif seperti memarahi, mengherdik dan merendah-rendahkan kemampuan dirinya.  Tentu sekali sedikit demi sedikit jiwa dan perasannya akan terkesan dan menjadikan anak-anak kita seorang yang lemah semangat, seorang yang rendah diri dan tidak mengenal apakah erti kejayaan didalam kehidupan mereka, mungkin mereka akan menjadi murung, tidak ceria dan ketakutan apabila melihat kedua ibubapanya.  Oleh sebab itu marilah kita mengunakan perkataan yang bersesuaian dan memilih untuk memikirkan perkataan yang akan menjadikan seseorang akan merasakan tenaga yang diberikan oleh kita agar mereka merasakan betapa beruntungnya mendampingi diri kita.  Perkataan mempunyai tenaga yang akan membawa seseorang kepuncak kejayaan, mencari kebahagian memerlukan pengorbanan dan setiap pengorbanan perlu diiringi dengan perasaan cinta yang mendalam, sejauh manakah kita mencintai orang-orang disekeliling kita kerana sekiranya kita benar-benar mencintai, kita tidak akan mampu untuk menghiris hati-hati mereka.  Bak kata pepatah melayu “Perkataan itu lebih tajam dari mata pisau”  Semuga kita diberikan kemampuan oleh Allah swt untuk mengubah kehidupan kita agar sentiasa mencari yang terbaik dan yang terbaik adalah apabila kita bermula untuk mengubah kehidupan kita sendiri mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah swt.

Dinding pemisah kehidupan...

Dinding pemisah sering digunakan apabila kita mahu mengadakan bilik,  berbagai-bagai sebab bila kita mengujudkan dinding, jika di gaza dinding yang begitu tinggi yang dipanggil tembok diujudkan bagi memisahkan atau mengurung penduduk gaza.  Apakah dinding yang telah dibina didalam kehidupan kita yang akan memisahkan kehidupan yang begitu memerlukan kebebasan.  Jika di sekolah dinding kayu mungkin tidak sesuai kerana akan menyebabkan suara tidak dapat dihalang daripada satu kelas dengan kelas yang lain.  Keadaan ini memerlukan dinding yang boleh menahan suara dan mungkin dinding batu amat-amat diperlukan sebagai penganti dinding kayu.  Namun dinding yang ujud didalam diri seseorang mungkin menyebabkan komunikasi terus terhalang, mungkin dinding tersebut menyebabkan terhalangnya pandangan untuk melihat kebaikan yang dilakukan oleh seorang yang sepatutnya disayangi didalam kehidupan kita.

Apakah dinding yang telah kita bina?  Mari kita lihat seorang kanak-kanak yang nakal, saban hari mungkin ibu dan ayahnya akan memarahi dan sentiasa mencari silap anaknya, ini mungkin disebabkan apabila anak itu melakukan perkara-perkara yang baik, kedua ibubapanya tidak berapa kisah untuk memuji atau memberikan sokongan, namun apabila anak tersebut melakukan kesilapan, kedua ibubapa akan cepat mengesan dan terus memarahi atau menegur anak tersebut.  Anak tersebut akan merasakan apabila melakukkan kebaikan amat jarang sekali kedua ibubapanya memberikan perhatian, sebaliknya apabila melakukan kesilapan begitu cepat mereka akan menegur.  Ini memberikkan suatu sikap tanpa disedari untuk mendapat perhatian memerlukan melakukan kesilapan dan apa yang sepatutnya tidak berlaku terus berlaku.  

Kita akan membina dinding yang mungkin lebih tinggi daripada dinding di gaza antara kita dan anak-anak kita tanpa kita sedari, kita bina dalam masa yang begitu lama tanpa kita sedari dinding yang pada mulanya rendah telah menjadi sedikit demi sedikit tinggi sehinggakan kita tidak boleh melihat apakah yang berlaku disebalik dinding yang telah kita bina.  Kita juga mungkin membina dinding tersebut untuk jiran-jiran, rakan-rakan dan juga mungkin untuk orang-orang yang sepatutnya kita kasihi.  Mengapa dinding tersebut terbina?  Ianya bermula dari sifat pemaaf yang tiada didalam diri kita, apakah kesalahan mereka yang sepatutnya kita kasihi itu begitu besar sehinggakan sudah tiada kemaafan yang boleh diberikan bagi mereka?  Setiap kemarahan telah menyebabkan terbina sebiji batu bata yang ditambah untuk pembinaan dinding pemisah antara kita dengan mereka. 

Marilah kita renung kembali berapa tinggi dinding yang telah kita bina dengan mereka-mereka yang kita tidak begitu selesa untuk berkomunikasi, marilah kita runtuhkan segala dinding-dinding tersebut dengan kita memaafkan segala kesilapan, bumi mana yang tak ditimpa hujan, lidah mana yang tak tergigit, gunung tidak akan runtuh jika disalak anjing tetapi gunung akan runtuh apabila sedikit demi sedikit batu dikakinya dialihkan dengan mengunakan lori atau akan runtuh juga apabila batu-batu besar dipahat sedikit demi sedikit. Kemaafan akan menyebabkan segala yang terputus kembali semula, segala yang retak akan tertaup kembali, segala kegelisahan akan kembali normal dan ianya bermula dengan kesedian untuk berkorban bagi saling maaf memaafkan.  Bukankah beruntung jika hari ini kita boleh memaafkan seseorang dan diakhirat nanti Allah swt pula memaafkan diri kita.

Tempat letak kereta

Tempat letak kereta menjadi tajuk perbualan dikalangan anggota, ramai yang telah mendapat banyak saman apabila meletakkan kereta di tepi jalan sepanjang jalan di pejabat.  Ada yang dah dua inci tebalnya surat saman yang diterima, ada yang dah lali dan tidak kisah apabila menerima saman saban hari.  Saman sudah tidak digeruni kerana dah nak buat macam mana, sudah tiada tempat untuk letak kereta, terima sahajalah saman yang diberikan.  Ada juga yang menakut-nakutkan dengan berkata nanti akan datang tuntutan dari majlis bersama dengan surat peguam dan sebagainya.  Ada juga yang merasa takut dan mencari jalan lain dengan datang awal untuk mendapatkan tempat letak kereta yang disediakan.  Namun untuk mendapatkan tempat letak kereta yang akan penuh sebelum jam 8 pagi memerlukan suatu perubahan untuk bangun lebih awal dan keluar rumah sebelum subuh lagi dan solah subuh apabila tiba di pejabat sebelum jam 7 pagi. 

Kita akan sanggup melakukan sesuatu yang baru apabila ada desakan dari dalam diri, kita juga akan boleh berubah bila ada tekanan atau ketakutan yang lahir dari dalam diri kita sendiri dan tiada siapa yang boleh menghalang apa yang kita mahu lakukan.  Mungkin agak ganjil dan pelik jika kita memulakan kerja seawal jam enam pagi hanya kerana mahu mendapatkan tempat letak kereta dan tidak mahu mengalami kesesakkan lalu lintas, namun ianya menjadi suatu yang biasa apabila saban hari kita memulakan perjalanan begitu awal sehinggakan apabila lewat memulakan perjalanan ianya menjadi suatu yang amat disesali didalam kehidupan hari tersebut.  Oleh sebab itu kita boleh merumuskan kesukaran itu adalah suatu yang diterima didalam pemikiran kita sahaja, jika kita menyatakan kita susah maka kita akan merasai kesukaran ini, jika kita menyatakan mudah segala yang sukar akan menjadi mudah dan senang.

Adakah kita menyatakan apa yang kita lakukan sukar?  Apakah apabila kita diberikan anak kita menyatakan ianya suatu yang sukar?  Adakah kita apabila berkahwin berharap untuk mendapatkan cahaya mata dan apabila kita telah mendapatkannya kita mengadu kesukaran untuk membelanya.  Namun anak yang kita katakan sukar untuk membelanya, hari demi hari pasti akan berlalu dan akhirnya anak tersebut telah menjadi dewasa.  Tetapi adakah kita telah mengambil kesempatan untuk mendidik anak-anak itu dengan sebaik mungkin, apakah hari-hari yang berlalu telah kita gunakan untuk menjadikan mereka sebagai seorang yang mengenal Allah swt?  Adakah kita telah menerapkan nilai-nilai agama sehinggakan mereka menjadi manusia yang berjaya didalam pelajaran tetapi juga menjadi manusia yang berjaya didalam kehidupan untuk akhirat mereka nanti. 

Apakkah kita akan menjadikan anak kita seperti mereka yang tidak kisah terhadap saman-saman yang telah diterima dengan beranggapan tiada apa yang akan berlaku?  Atau kita mendidik mereka agar menyiapkan diri agar takut terhadap saman-saman yang diterima dan berusaha untuk mengubah diri agar mematuhi segala peraturan dan mencuba sedaya upaya untuk berubah bagi mendapatkan tempat letak kereta yang disediakan.  Adakah kita benar-benar untuk mengelak saman yang bukan sebarangan kerana saman dari Allah swt adalah saman yang pasti akan dituntut bayarannya.  Mampukah kita membayar saman-saman Allah swt ini nanti jika kita terlalu banyak kesilapan yang kita lakukan atau kita sering meletakkan sesuatu di tempat yang tidak sepatutnya sehinggakan di murkai oleh Allah swt.  Marilah kita memikirkan tindakan kita adakah kita sentiasa meletakkan sesuatu ditempat yang sepatutnya dan tidak melakukan kesilapan demi kesilapan yang disengajakan

 
Copyright © 2009 Rumah Ku Syurga KU |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net